Thursday, September 17, 2009


Tiada sekatan jalan di musim perayaan

Polis trafik hari ini memberi jaminan tiada sekatan jalan akan dilakukan di semua lebuh raya dan jalan utama negara sepanjang musim perayaan ini.

Ketua Polis Trafik Bukit Aman Datuk Abdul Aziz Yusof berkata ini bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik pengguna jalan raya dari satu destinasi ke destinasi lain selain mengelakkan kesesakan jalan raya di kawasan berkenaan.

“Jika kita melakukan roadblock, kelancaran trafik di sesuatu kawasan seperti di lebuh raya akan terganggu dan ini boleh menimbulkan kemalangan atau perkara-perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita pada Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Yayasan Belia Malaysia di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Beliau berkata sekatan jalan akan diadakan jika polis menerima maklumat mengenai sesuatu perkara yang memerlukan tindakan dan kawalan segera pada sesuatu masa di lebuh raya atau jalan-jalan utama berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rungutan sesetengah pengguna jalan raya yang berhadapan sekatan jalan raya ketika memandu pulang ke kampung halaman masing-masing pada musim perayaan ini.

Sekatan jalan raya khasnya di lebuh raya dilihat menggangu perjalanan pengguna dan menimbulkan masalah kerana ada yang terpaksa memperlahankan kenderaan secara tiba-tiba ketika sedang memandu laju.

Abdul Aziz berkata polis bagaimanapun akan menggunakan rakaman video dari helikopter untuk mengesan pengguna jalan raya yang melanggar peraturan bagi memastikan mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Beliau berkata polis akan meningkatkan rondaan setiap hari menggunakan helikopter di semua lebuh raya dan jalan yang menghubungkan jalan utama dengan negeri bagi mengesan pesalah trafik itu.

“Menerusi video itu, anggota polis akan memaklumkan kepada anggota peronda yang berada berdekatan dengan kawasan kejadian yang seterusnya akan menahan pengguna yang gagal mematuhi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata untuk musim perayaan ini seramai 2,500 pegawai dan anggota polis akan terlibat dalam Ops Sikap selain penglibatan pegawai dan anggota dari Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ)

No comments:

Post a Comment